

(Untuk peringatan pada diriku yang selalu tidak sabar dengan karenah anak2)
Kadangkala, sebagai ibu bapa memang sukar untuk kita bersabar dengan karenah anak-anak. Corak kehidupan masa kini menambahkan lagi bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa. Lebih-lebih lagi bagi yang menjadi ibu atau bapa tunggal, beban dan tanggungjawab menjadi berlipat kali ganda. Anak-anak pula sering meminta perhatian, dan ada pula yang tidak tahu berdikari walau sedikit pun. Mereka semakin pandai merungut, mengambil kesempatan atau membuat helah yang mereka tidak boleh melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan perhatian hingga kita kadang-kadang merasakan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diberikan.
Di zaman moden ini, pengaruh dari apa yang berlaku di sekeliling seringkali membuatkan kebanyakan kita tergesa-gesa, memberitahu anak-anak apa yang perlu dilakukan sambil berlalu di hadapan mereka, dan kemudian pergi. Malangnya, apa yang berlaku ialah selepas membuat 15 permintaan untuk melakukan sesuatu misalnya, kebanyakan kita akan menjadi kecewa. Ada yang terpaksa meninggikan suara, walau pun perkara itu tidak mereka sukai. Ramai yang merasakan, "Kenapa anak saya hanya mendengar apabila saya menjerit kepada mereka?" Bagi kanak-kanak, mungkin ia merupakan masa untuk mendapatkan sedikit rehat atau pun melihat apa yang sedang berlaku.
Kebanyakan kanak-kanak sudah mempelajari bahawa mereka boleh mengenepikan suruhan kita apabila kita bercakap pada nada suara biasa, kerana tidak lama kemudiannya kita akan keluar ataupun sibuk melakukan hal-hal tertentu. Maka kanak-kanak tersebut boleh meneruskan semula apa yang sedang mereka lakukan tanpa gangguan. Walau bagaimana pun, mereka tetap "peka" kepada nada suara kita ibu bapa mereka dan tahu bila mereka patut mendengar permintaan kita. Mereka tahu pada nada mana ancaman ibu bapa mereka akan jadi kenyataan. Justeru itu, bagaimana untuk membuatkan mereka mendengar kata tanpa kita perlu menjerit dan mengugut?
Mungkin, hanya satu bentuk kecuaian kita dalam menjaga syariat, sudah cukup untuk menjadikan kita gagal dalam memimpin dan mendidik anak-anak. Kecuaian kita menunjukkan kita juga `degil' untuk mematuhi perintah Allah s.w.t., justeru itu Allah berikan teguran-Nya melalui sikap anak-anak. Cuba perbaiki diri kita dari masa ke semasa, untuk menjadi hamba Allah yang taat, semoga anak kita juga taat kepada ibu dan ayahnya.
Ramadan tiba lagi. Lebih mengujakan, tahun ini si kecil mulai belajar berpuasa! Namun, melatih si kecil berpuasa tidak boleh dilakukan secara paksa. Perlu dilakukan secara bertahap kerana si anak belum memiliki kewajiban berpuasa penuh . Beberapa cara yang boleh membantu dalam melatih si kecil berpuasa. Semoga Allah s.w.t memudahkan niat anda untuk mendidik buah hati tercinta. Jika sukar mendidi knya usah putus asa. Sesungguhnya Allah s.w.t dekat dengan hamba-Nya yang bertaqwa.
1. Memberi pemahaman tentang kepentingan Ramadhan. Seeloknya dilakukan sebelum tiba bulan Ramadhan lagi. Gunakan kata-kata yang jelas intonasinya, lambat, dan menggunakan bahasa yang sederhana sesuai dengan umur anak. Jelaskan apa itu puasa, bila waktunya untuk berpuasa, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berpuasa. Akan tumbuh niat yang kuat dalam diri si kecil saat tibanya Ramadhan.2. Sambutlah bulan Ramadan dengan wajah yang berseri-seri dan penuh ceria. Si kecil pasti akan bersemangat untuk berpuasa dan akan dipraktikkan dengan mudah hingga mereka meningkat dewasa.
3. Menetapkan waktu tidur si kecil bagi memudahkan mereka bangun sahur.
4. Tidak meletakkan makanan mahupun minuman secara terbuka di hadapan mereka. Letak jauh daripada perhatian si kecil.
5. Seeloknya jauhkan si kecil daripada bergaul dengan kawan-kawannya yang malas berpuasa sebaliknya galakkan si kecil bergaul dengan kawan-kawannya yang rajin berpuasa.
6. Menjanjikan hadiah sebagai rangsangan. Di samping penghargaan dan pujian sebagai anak yang sabar, hadiah berupa peralatan pembelajaran boleh juga diberikan.
7. Beritahu tentang pahala dan syurga Allah s.w.t. kepada si kecil. Mereka pasti akan merasa senang sekaligus dapat berbakti kepada kedua ibu bapanya.
8. Memberi alternatif pengisian waktu yang tepat dan positif. Contohnya, waktu tidur atau memberi permainan yang mendidik agar si kecil lupa dengan rasa haus dan lapar. Anda juga boleh mengajaknya mengaji Al Quran bersamasama dan membacakan kisah-kisah teladan para Nabi dan Rasul.
9. Mengajak si kecil menyemarakkan syiar Islam seperti solat terawih berjemaah di masjid, mengaji dan mengkaji Al Quran dan sebagainya.
10. Manfaatkan semaksima mungkin pembiasan puasa di bulan Ramadhan bagi anak-anak sejak awal usia mereka. Perhatian yang berterusan dengan pengendalian yang bijak dapat mencambahkan kesedaran serta minat si kecil untuk berpuasa. Mendidik anakanak adalah satu tanggungjawab. Kesedaran anak-anak merupakan tabungan ibadah bagi anda sebagai ibu bapa yang telah mendidik mereka dengan cara yang sewajarnya.